
OBJEKTIF PROGRAM.
1. Membantu murid asnaf menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
2. Menyediakan bimbingan pembelajaran mengikut tahap keupayaan setiap murid.
3. Meningkatkan keyakinan murid untuk mengikuti pembelajaran di sekolah.
4. Merekod dan menilai perkembangan murid secara teratur.
TENTANG PROGRAM.
Program ini adalah inisiatif intervensi pendidikan untuk murid sekolah rendah yang masih memerlukan bimbingan dalam kemahiran asas 3M.
Program ini menggunakan Modul Literasi mengikut tahap penguasaan murid. Kelas dikendalikan oleh guru sekolah yang dilantik dan menerima elaun bagi setiap sesi, supaya pembelajaran dapat dijalankan secara konsisten, berfokus dan dipantau dengan baik.
Pelaksanaan program turut diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara MISI7 dan pihak sekolah bagi menyelaras komitmen, jadual, pemantauan serta pelaporan program
TENTANG PENERIMA MANFAAT.
Program ini menyasarkan 40 murid asnaf daripada dua buah sekolah rendah di Kudat, Sabah iaitu:
20 murid dari Sekolah Kebangsaan Sikuati, Kudat.
20 murid dari Sekolah Kebangsaan Lok Yuk Sikuati, Kudat.
Murid yang dipilih berumur 10 tahun ke atas dan dikenal pasti oleh pihak sekolah sebagai memerlukan bimbingan tambahan dalam kemahiran asas 3M. Program ini tidak melibatkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
RASIONAL SASARAN DAN KEPERLUAN INTERVENSI.
Pemilihan Penerima Manfaat.
Penyertaan dihadkan kepada 20 murid bagi setiap sekolah supaya guru dapat memberi bimbingan yang lebih fokus serta memantau kehadiran, penggunaan modul dan perkembangan setiap murid dengan lebih teratur.
Keperluan Intervensi Literasi.
Kemahiran membaca, menulis dan mengira ialah asas pembelajaran di sekolah. Murid yang lemah dalam kemahiran ini berisiko ketinggalan dalam mata pelajaran lain dan kurang yakin untuk terlibat di dalam kelas.
Bagi keluarga asnaf, kekangan kewangan boleh menghadkan peluang anak-anak mendapatkan bimbingan tambahan. Program ini menyediakan ruang pembelajaran yang tersusun agar murid dapat mengukuhkan asas pendidikan dan meneruskan persekolahan dengan lebih yakin.
PELAN PELAKSANAAN.

Program disasarkan bermula pada April 2027, tertakluk kepada kecukupan dana dan persetujuan pelaksanaan bersama pihak sekolah.
Mac 2027: Guru sekolah menjalankan saringan dan pemilihan murid.
April 2027: Pentaksiran diagnostik dilaksanakan untuk menentukan tahap pembelajaran murid.
April hingga Julai 2027: Kelas Literasi dan Kelas Numerasi dijalankan dua kali seminggu.
Sepanjang program: Kehadiran, kemajuan pembelajaran dan peralihan modul murid direkodkan.
Selepas kelas selesai: Pentaksiran sumatif dan laporan impak disediakan.
Bagi setiap sekolah, pelaksanaan melibatkan 34 kelas:
16 Kelas Literasi
16 Kelas Numerasi
1 Pentaksiran Diagnostik
1 Pentaksiran Sumatif
Setiap kelas berlangsung selama dua jam. Jadual boleh diselaraskan berdasarkan kecukupan dana, cuti sekolah dan perkara tidak dijangka yang menjejaskan kehadiran guru atau murid.
STRUKTUR PERANAN DAN TUGAS.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama rasmi MISI7 dan pihak sekolah.
Penyelaras Program: Menyelaras keseluruhan program, pemantauan, modul, dokumentasi, laporan dan kewangan.
Pembantu Penyelaras: Mengurus urusan di sekolah, jadual kelas, bahan, makanan serta pengangkutan murid.
Guru Kelas Literasi dan Numerasi: Mengendalikan kelas, merekod kehadiran, menjalankan pentaksiran dan menyediakan laporan sesi.
Pengangkutan Murid: Menghantar murid pulang dengan selamat selepas kelas.
ANGGARAN KOS PROGRAM.
Berikut adalah anggaran kos yang diperlukan untuk program ini bagi tahun 2027.

Klik DI SINI untuk melihat jumlah kutipan dana terkini.
SUMBANGAN, PENAJAAN DAN AKAUNTABILITI PROGRAM.
Sumbangan dan penajaan akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan kelas, elaun guru, modul pembelajaran, makan tengah hari, pengangkutan murid serta keperluan program.
Penyumbang boleh menaja sebuah sekolah, menyumbang kepada komponen tertentu atau menyokong program mengikut kemampuan masing-masing.
Bagi memastikan amanah dana diuruskan secara telus, MISI7 akan menyediakan laporan program yang merangkumi pelaksanaan aktiviti, jumlah penerima manfaat, dokumentasi bergambar yang bersesuaian, pencapaian pembelajaran murid dan ringkasan penggunaan dana.
Penaja/penyumbang juga boleh memohon lawatan ke sekolah, tertakluk kepada persetujuan pihak sekolah, kesesuaian masa dan kebajikan murid.
Tiada jumlah minima bagi sumbangan yang ingin disalurkan untuk dana ini. Kami menerima segala jumlah sumbangan seikhlas hati. Untuk sumbangan, salurkan ke butiran akaun di bawah:
Nama Akaun: Pertubuhan Sukarelawan MISI7
Nombor Akaun: 26205400057810 (RHB)
Rujukan Transaksi:‘LITERASI27’
ataupun menggunakan QR akaun pertubuhan ini yang tertera di bawah:

Kami mendahulukan ucapan terima kasih kepada penyumbang. Jazakumullah khairan khatira. Butiran lanjut/pertanyaan/resit sumbangan, hubungi whatsapp AJK yang bertugas: http://www.wasap.my/601129962129
NOTA PENTING: Bagi sumbangan menerusi ‘online’, sila nyatakan rujukan transaksi untuk dana ini. Bagi sumbangan menerusi Mesin Deposit Tunai pula, sila whatsapp slip transaksi ke nombor yang tertera diatas atau emailkan kepada sukarelawan.misi7@gmail.com untuk kami rekod dan asingkan dana tersebut kerana akaun pertubuhan juga menguruskan pelbagai kemasukan sumbangan dana yang lain.
PENUTUP.
Program Literasi MISI7 Tahun 2027 bertujuan memastikan murid yang masih lemah dalam asas 3M tidak terus tercicir tanpa bimbingan yang sesuai.
Sokongan daripada individu, penyumbang dan rakan korporat akan membantu menyediakan intervensi pendidikan yang tersusun, dipantau dan dinilai melalui perkembangan pembelajaran yang direkodkan.
Setiap sumbangan membuka peluang kepada murid asnaf di Kudat untuk membina asas pendidikan, keyakinan diri dan masa depan yang lebih baik.
Di bawah, kami kongsikan sebahagian dokumentasi bergambar pelaksanaan pada tahun 2026.







