KEMPEN SUMBANGAN DANA BAIK PULIH SURAU AWAM LONGBEACH, PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU.

PENGENALAN.
Surau Awam Longbeach terletak kira-kira 10 hingga 15 meter dari pantai di Longbeach, Pulau Perhentian. Ia menjadi kemudahan ibadah penting kepada penduduk tempatan, pekerja pulau serta pengunjung dalam dan luar negara.

Surau ini pada asalnya merupakan sebuah rumah sampah yang diubah suai oleh penduduk tempatan untuk dijadikan ruang solat kecil, dengan kapasiti sekitar 7 hingga 9 orang pada satu-satu masa.

Kunjungan kami pada bulan Ogos tahun 2020 menjadi pencetus kepada usaha pada tahun 2021, yang mana MISI7 telah melancarkan kempen dana bagi menaik taraf surau ini kepada keluasan 20 x 20 kaki.

Alhamdulillah, hasil sumbangan orang ramai surau ini terbina dan sehingga hari ini, surau tersebut terus digunakan sebagai tempat ibadah oleh masyarakat dan pelancong yang berada di Longbeach.

KEPERLUAN BAIK PULIH BERTERUSAN
Kedudukan surau yang berhampiran pantai menyebabkan bangunannya berdepan kesan cuaca, angin kencang, hujan serta kelembapan yang tinggi. Apabila musim tengkujuh tiba setiap tahun, beberapa bahagian surau berisiko mengalami kerosakan dan memerlukan kerja baik pulih.

Keadaan ini menjadikan penyelenggaraan surau sebagai satu keperluan yang berterusan, bukan sekadar tindakan sekali sahaja.

Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi:
> Membaiki kerosakan struktur, bumbung, dinding dan kemudahan asas.

> Menyelenggara keadaan surau agar kekal bersih, selamat dan terurus.

> Menambah baik ruang serta keperluan ibadah demi keselesaan pengguna.

> Menyediakan kemudahan yang lebih sesuai untuk pengunjung dan penduduk tempatan.

BUTIRAN SASARAN DANA TAHUNAN.
MISI7 menyasarkan dana sebanyak RM10,000 setiap tahun bagi menyokong kerja baik pulih dan penambahbaikan Surau Awam Longbeach.

Sumbangan ini akan membantu memastikan surau terus berada dalam keadaan baik, khususnya selepas musim tengkujuh, serta mampu memberi keselesaan kepada umat Islam yang menunaikan ibadah di kawasan pelancongan ini.


Kerja-kerja baik pulih untuk tahun 2027 dijadualkan seperti berikut:
Awal bulan Mac:
Tinjauan penilaian dan pengiraan kos.

Minggu ke pertama & ke-2 bulan April:
Kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.

RUANG DAKWAH.
Longbeach menerima kehadiran ramai pelancong dari pelbagai negara, termasuk pelancong asing yang belum mengenali Islam. Dalam suasana ini, kewujudan surau yang terjaga dan selesa membawa nilai yang lebih besar daripada sekadar menyediakan ruang solat.

Surau ini menjadi salah satu wajah Islam yang dapat dilihat oleh masyarakat luar melalui kebersihan, kemudahan, adab penggunaannya dan suasana yang diwujudkan di sekitarnya.

Atas keistimewaan inilah yang menjadi pendorong utama kepada MISI7 sejak dari awal usaha membina surau ini pada tahun 2020. Kini MISI7 berhasrat untuk bersama-sama pihak berkaitan di Pulau Perhentian menjaga keperluan dan keadaan surau ini.

KERJASAMA.
Pada 1 Ogos 2026, wakil MISI7, En. Hairul, telah mengadakan pertemuan bersama Tuan Nik Zawawi Mohd Nor, Pengerusi JPKK Kampung Pulau Perhentian.

Pertemuan tersebut membincangkan hasrat MISI7 untuk membantu menyokong keperluan dan kerja baik pulih Surau Awam Longbeach. Hasrat ini telah disambut baik oleh pihak JPKK melalui kebenaran bertulis untuk pelaksanaan usaha berkenaan.

SERTAI USAHA BAIK PULIH.
Selain menyumbang dana, orang ramai juga berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam kerja baik pulih surau menerusi program sukarelawan yang dilaksanakan setiap tahun.

Penyertaan ini memberi ruang kepada sukarelawan untuk menyumbang tenaga, kemahiran dan masa dalam menjaga sebuah rumah ibadah yang memberi manfaat kepada ramai pengguna di Pulau Perhentian.

Setiap sumbangan membantu memastikan Surau Awam Longbeach terus tersedia sebagai ruang ibadah yang selesa, terurus dan sesuai untuk kegunaan penduduk serta pengunjung.

Klik DI SINI untuk melihat jumlah kutipan dana terkini.

SUMBANGAN.
Tiada jumlah minima bagi sumbangan yang ingin disalurkan untuk dana ini. Kami menerima segala jumlah sumbangan seikhlas hati. Untuk sumbangan, salurkan ke butiran akaun di bawah:

Nama Akaun: Pertubuhan Sukarelawan MISI7
Nombor Akaun: 26205400057810 (RHB)
Rujukan Transaksi:‘LONGBEACH’
ataupun menggunakan QR akaun pertubuhan ini yang tertera di bawah:

Kami mendahulukan ucapan terima kasih kepada penyumbang. Jazakumullah khairan khatira. Butiran lanjut/pertanyaan/resit sumbangan, hubungi whatsapp AJK yang bertugas: http://www.wasap.my/601129962129

NOTA PENTING: Bagi sumbangan menerusi ‘online’, sila nyatakan rujukan transaksi untuk dana ini. Bagi sumbangan menerusi Mesin Deposit Tunai pula, sila whatsapp slip transaksi ke nombor yang tertera diatas atau emailkan kepada sukarelawan.misi7@gmail.com untuk kami rekod dan asingkan dana tersebut kerana akaun pertubuhan juga menguruskan pelbagai kemasukan sumbangan dana yang lain.